
Sebelum itu saya mendapat panggilan daripada ibu saya bahawa saya mungkin terpilih dalam pencalonan anugerah belia peringkat negeri. Sewaktu itu saya berada di UiTM Shah Alam kerana saya menuntut di sana. Saya mendengar khabar tersebut dengan perasaan biasa-biasa sahaja kerana saya tidak terfikir pun yang saya layak menerima anugerah tersebut. Selepas beberapa hari, saya mendapat khabar bahawa saya berkemungkinan besar layak menerima anugerah belia peringkat negeri Perak. Saya berasa gembira tapi kegembiraan saya tidaklah dapat dirasai sangat kerana saya seakan-akan tidak percaya yang saya layak menerima anugerah tersebut.

Menerima anugerah Belia Peringkat Negeri daripada MB Perak, Dato' Dr Zambry
dan diiringi oleh EXCO Belia dan Sukan Dato' Zainol Fadzil
Setelah beberapa minggu, ibu saya menghubungi saya lagi. Beliau berkata nama saya telah dibawa ke pencalonan anugerah belia peringkat kebangsaan tapi saya sudah awal-awal tidak meletakkan harapan yang saya bakal terpilih kerana saya tahu ramai lagi rakyat Malaysia yang lebih hebat dari saya. Tak sangka tiga hari sebelum Hari Belia saya dimaklumkan oleh ibu saya yang saya terpilih untuk menerima anugerah tersebut. Tapi saya menerima keputusan itu dengan bersahaja saja kerana saya sukar untuk menerima kenyataan bahawa saya adalah orang yang dipilih untuk menerima anugerah tersebut. Sehari sebelum hari penerimaan anugerah, saya dimaklumkan yang nama saya terpapar di akhbar antara belia yang terpilih untuk menerima anugerah tersebut dan kemudiannya saya menerima panggilan daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan bahawa saya dijemput untuk menerima anugerah belia negara di PICC, Putrajaya. Barulah saya percaya yang saya betul-betul tepilih menerima anugerah belia negara kategori "Daya Juang Malaysia Boleh".





No comments:
Post a Comment