Thursday, September 23, 2010

Misi bermula 5XOE: SELAT MELAKA

Rakan seperjuangan dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi memegang "banner" bagi menyambut ketibaan Zahra dan Salman ke garisan penamat

Siapa kata tidak berjaya sekali bermakna gagal selamanya?? inilah prinsip yang saya pegang sentiasa kerana bagi saya istilah gagal itu tidak ada selagi kita masih berusaha untuk berjaya dan kini saya telah membuktikan ke tidaksampaian saya ke destinasi penamat Calais, France dalam usaha menyeberang Selat Inggeris tidak semestinya membuat pencapaian saya akan menjunam dan tiada masa hadapan lagi. Kini, saya telah membuktikannya!!!

Kisah saya ini membuatkan saya teringat akan kisah hebat Thomas Alva Edison. Menurut artikel blog Napie (2009):
"Orang muda, mengapa harus aku merasakan diriku seorang yang gagal? Dan mengapa harus aku berputus asa? Aku (Thomas A. Edison) sekarang sudah mengetahui lebih 9,000 cara yang akan membuatkan mentol elektrik tidak akan berfungsi. Kejayaan hampir dalam gengaman aku." Tidak lama kemudian Thomas Alva Edison berjaya mencipta mentol elektrik pertama selepas lebih 10,000 kali percubaan.
Jadi, petikan di atas menunjukkan sekali gagal tidak bermakna kita terus hanyut dengan kegagalan dan kejayaan saya kini juga dapat membuktikan pada seluruh mata dunia. Pada mulanya saya fikir saya mungkin tiada masa depan lagi untuk teruskan misi ini tetapi dengan berkat doa ramai pihak tidak kira yang menganuti agama Islam, Hindu, Buddha, Christian dan lain-lain telah membantu sedikit sebanyak meraih kejayaan dan ia  membuktikan yang  saya  dan  adik mampu mencipta kejayaan yang luar biasa walaupun saya pernah tersungkur sebelum ini sekali.

PENGALAMAN
Pada mulanya saya seakan-akan tidak percaya pada hari Sabtu (27/3/2010) ialah hari bermulanya saya berenang ke lokasi permulaan. Cepat sungguh masa berlalu, rasanya macam saya baru sahaja menjalani latihan renang untuk rentas Selat Melaka rupa-rupanya inilah saat saya perlu membuktikan saya pasti mampu menawan Selat Melaka ini bersama jiwa saya, Salman Ali Shariati (adik). Saya kadang-kadang terdetik sesuatu di hati, "Kenapalah aku bodoh sangat nak teruskan renangan ni sedangkan aku dah gagal, pasti akan dapat malu besar kalau tak mampu habiskan Selat Melaka  ini juga..pasti masyarakat akan pandang serong pada aku dan kenapa lah aku berani sangat ambil risiko ni??". Oh tuhanku, kenapalah saya boleh terdetik bertanggapan buruk sebegitu dan saya terus berkata pada diri saya. "Tidak Zahra, kau boleh lakukan perkara ni, kau bukan buat kerja bodoh..kau nak membuktikan pada orang ramai yang kau tak berjaya sebelum ni bukan kerana faktor kau semata-mata..mungkin tuhan lebih mengetahui..mungkin tuhan mahu menguji kau sama ada kau adalah umat Islam yang lemah atau sebaliknya untuk terima kegagalan..mungkin tuhan tak mahu kau berjaya dengan keadaan sebelum ni..kejayaan tu akan tiba suatu hari nanti..Kau boleh Zahra..Buktikan!!!!".
 

Saya terus tersedar dari lamunan dan berfikir sejenak.Apa yang saya fikirkan sebelum ni? Kenapa saya boleh  fikir yang negatif dan saya harus sentiasa positif dalam apa keadaan. Jadi esoknya saya akan bertolak ke Sumatera, Indonesia. Pada Jummat malam, kami ke perlabuhan untuk menaiki bot ke perairan Indonesia. Sepanjang jalan menuju ke sana, saya sempat melelapkan mata di bilik tidur dalam bot tersebut. Tiba pada watu paginya, saya mulakan dengan sedikit pengisian rohani supaya saya mendapat kekuatan dalam menempuhi cabaran tidak lama lagi. Kira-kira jam pukul 11 pagi, saya, Salman, bapa saya dan beberapa anggota polis maritim menaiki bot kecil menuju ke pantai di mana tempat kami bakal memulakan renangan. Kami disambut dengan paluan kompang dan upacara tepung tawar oleh penduduk tempatan di sana. Bahagianya saya apabila melihat sokongan dari pihak negara jiran juga seiiring dengan masyarakat kita. Tak sia-sialah usaha renangan perpaduan nusantara Indonesia-Malaysia ini dilakukan.Saya dapat melihat keakraban itu ada cuma sesetengah pihak mengucar-kacirkan keadaan. Selepas itu kira- kira waktu tengahari, saya dan adik (Salman) dilepaskan berenang berasingan iaitu beza lima minit setiap seorang.

Mula-mula perairan di Indonesia agak berombak, saya cuba berenang dalam keadaan yang tenang. Saya dan adik di iringi oleh 2 bot tunda. Ekspidisi rentas Selat Melaka ini di ketuai oleh "Tok Bakar". Beliau merupakan tekong/taiko (ketua) nelayan di Port Dickson dan sudah biasa dengan perairan Selat Melaka ini. Sebelum ini beliau pernah dua kali membawa perenang merentasi Selat Melaka mengetuai rombongan ini. Jadi, sudah tentu beliau cukup berpengalaman, profesional dan beliau juga seorang yang dihormati oleh nelayan-nelayan setempat. Bagi saya renangan ini memang berunsurkan "1 Malaysia" di mana anak-anak buah beliau yang turut serta mengikuti rombongan ini juga ada bangsa Melayu dan tiga orang cina. Semuanya memberikan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi. Terharu sungguh saya bila mengenangkan semua pihak berusaha menjayakan misi ini. Kerajaan Negeri Perak dan Negeri Sembilan, Polis, Pihak Maritim, komando tentera darat, paramedik, UiTM, Agel dan sebagainya semuanya turut membantu selagi mampu.
Route Straits of Malacca
 
Zahra baru berjaya menamatkan renangan

Zahra dipapah oleh Zuriah (kiri) dan Rohaya (kanan)
Sepanjang saya berenang, ada pihak paramedik yang bertuah dapat melihat ikan dolphin. 
 Saya dapat melihat beratus ribu obor-obor kecil "Glow in the dark" dan ia tidak berbahaya, Angin yang kuat, kapal besar melintasi di hadapan saya..Syukur ahli rombongan kami perasan ada kapal besar. Yang peliknya kenapa kapal tersebut tidak menyalakan lampu? kan bahaya walaupun di laut. Macam-macam perkara yang kami tempuhi sepanjang perjalanan. Sewaktu tempoh 23 jam berenang sejauh 60km (diiktiraf oleh pihak Maritim), saya cuma fikirkan harapan orang ramai pada saya, pengorbanan ibubapa, buktikan pada yang lain yang saya tidak gagal dan yang paling utama sekali ia membuatkan saya begitu dekat dengan maha pencipta iaitu Allah. Di saat saya bersusah payah, inilah masanya saya berasa sungguh dekat dengan maha pencipta dan bila sudah berjaya tamatkan renangan pada waktu itu barulah saya rasa sungguh syukur tidak terhingga. Sukar untuk saya gambarkan perasaan itu melainkan seseorang itu rasai sendiri. Pada jam ke 18-20, matahari mula kelihatan dan saya sudah mula nampak Malaysia. Ya allah! Kejayaan akan tiba tidak lama lagi tapi saya harus teruskan renangan kerana secara jujurnya ianya masih jauh lagi, lebih dari 10 km. Pantai mula kelihatan pada waktu tengahari dan saya tahu saya hampir menamatkan. Pada masa itu Salman sudah tiba dulu ke pantai kerana dia berlepas awal pada permulaan renangan. Kira-kira 2 km dari pantai, tiba-tiba arus mulai kuat. Arus hanyutkan saya ke sebelah barat saya. Bertapa penatnya setelah berenang berjam-jam, saya perlu menambah kelajuan renangan saya dengan menguatkan kayuhan. Pada ketika itu, saya mula lihat rakan-rakan saya di sana, ahli Agel, dan orang ramai menunggu saya di pantai. Oleh itu, saya kuatkan semangat saya. "Mental kena kuat Zahra!! Jangan hiraukan sakit kau tu sebab kau nak sampai dah!!" bisik hati saya. Akhirnya saya berjaya tiba di Pantai Saujana dan diarak oleh orang ramai termasuk maskot negeri Perak kami, seladang!
Saya dipapah oleh rakan ibu saya dan rakan-rakan kerana terlalu penat menongkah arus ketika itu. Kami menerima cenderahati dan sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR), "Longest female to swim the longest distance" dan Salman menerima anugerah "Youngest boy to swim the longest distance". Apapun,  sepanjang latihan dengan tentera laut di perairan Lumut dan berlatih renang di perairan Port Dickson bersama komando tentera darat sungguh  menghiburkan!!!


Terlalu penat tetapi berpuas hati dengan usaha selama ini
Malaysia Boleh!!!!!!

Menerima cenderahati daripada wakil MB Perak, Dato Zainol selaku EXCO Jabatan Belia dan Sukan
Zahra (kanan) di temu ramah oleh pihak media
"Kami berjaya lakukannya". Salman (kiri) dan Zahra (kanan) bergambar bersama sijil pengiktirafan.
Bersama bapa (kiri sekali), Salman, Zahra dan ibunya bergambar dengan replika sijil (MBOR)


TERIMA KASIH KERANA SOKONGAN ANDA SEMUA, SAYA BANGKIT SEMULA DARI KEGAGALAN LAMPAU! 



No comments:

Post a Comment